Monday, October 2, 2023

Dua Puluh Dua

 “Perut abah squishy. Kenapa abah semakin buncit?” sambil Aira picit-picit perut. Memang betul. Berat naik agak exponensial dalam 3 bulan ini. Bahananya, seluar mulai ketat. Dan lutut makin sakit bila lari.

Ingat lagi masa mula-mula daftar 21km untuk Twin City Marathon, tujuannya untuk capai sesuatu dalam hidup. Hampir empat dekat hidup tapi rasa tiada apa-apa yang boleh dibanggakan. Usai larian selepas 3 jam berpenat, rasa gembira. Dan deretan medal kemudiannya terkumpul. Baju-baju acara dulu yang agak sendat juga semakin longgar.

Tapi masa yang dicapai hanya setakat itu. Tidak pernah berkurang. Seperti kata kenalan dahulu,

“Kau hanya perlukan sekelumit saja rasa sebelum tepu jiwa.”

Kini jumlah larian makin singkat. Perut makin sendat. Dan krisis eksistensial kembali menyengat.

“Aira nak abah kurus. Baru hensem.” Kakak dan Aira sama-sama bergelekek. 

Dua budak cenonet ini sebenarnya pencapaian hidup yang dibanggakan.




No comments: