Thursday, September 21, 2023

Dua Puluh Satu


Sudah hampir tiga bulan menyelusuri lebuhraya ini setiap pagi. Titis hujan menerjah laju ke cermin depan. Tapi tak cukup lebat untuk dibuka wiper. Kadang-kadang ada kereta laju memotong di sebelah. Dibiar saja kerana tak rasa mahu menggila seperti selalu. Lagu Apokalips oleh M. Nasir diputar Spotify. Teringin mahu dengar dendangan M. Nasir dek bebelan deep Zul Titik Perpuluhan Zamir dalam podcastnya. Mungkin perlu cari teater lakonannya pula selepas ini.

Tiap pagi seperti ini pasti akan teringat satu kes yang pernah ditemubual beberapa tahun dahulu - lelaki 30-an mengalami tekanan yang dahsyat sehingga satu hari semasa memandu laju, tangan dilepaskan dari roda stereng.

Tiap pagi seperti ini juga memahamkan lakuannya. Jika lebih separuh kehidupan harian perlu buat perkara yang tidak digemari, kebebasan fikiran pasti akan dicari. Dan tiada yang lebih bebas dari kematian. Ketika roda stereng yang dirasa makin ringan, suara bass M. Nasir mencelah,

Hidup dan nasib
Roller coaster
Susah dan senang bersilih ganti
Bila-bila boleh naik dan turun

Dalam kecamukan fikiran, teringat janji untuk bawa dua makhluk kenit di rumah ke Legoland. Janji perlu dikota. Mungkin hari lain wahai kebebasan. Stereng digenggam erat kembali. 

M. Nasir seperti turut sorak syukur terus menyanyi,

1 2 3 Do Re Mi
Apa nak jadi
Alif Ba Ta A BC
Apa nak jadi
Akan terjadi
Hujan pasti berhenti

Air ketum apa yang dia minum buat lirik macam budak darjah 1.

No comments: