Saturday, December 6, 2014

Enam Belas

Akibat bergambar dengan orang ketot.

"Unnecessary anger!" Jerit hati apabila diajak untuk sertai Facebook. Tapi muka masih senyum sambil tolak pelawaan.

Benci akan Facebook makin kuat apabila melihat separuh hati bersedih tiap kali layari laman Facebook orang lain dan melihat gambar anak-anak kecil yang dipertonton rasa seperti hati ini dibedah tanpa bius. Ditambah rasa marah kerana tidak mampu buat apa-apa. Media sosial memang padang untuk peraga kehidupan sendiri yang tampak indah. Lebih masuk akal jika setiap status hujung ditambah dengan 'kau ada?'

Makan nasi dengan hubby! Kau ada?
Dating dengan baby bucuk! Kau ada?
Alhamdulillah bersyukur akhirnya lulus peperiksaan. Kau ada?

Lalu Facebook ditinggalkan bersawang. Dan satu-satu laman sosial lain yang mengundang amarah dibiar tak berpenghuni.

Dan itu membuka satu ruangan baru. Mula melihat kehidupan sendiri lebih indah. Apabila penat bertekak dengan pesakit di tempat kerja, itu semua hilang melihat separuh hati menanti di rumah. Tidak lagi perlu fikir akan keangkuhan umat dengan retorik tiga suku di Facebook. Atau tayangan kehidupan yang tampak indah tapi entah hakikat sebenar bagaimana. Cukup bergelak ketawa dengan separuh hati dengan lawak bodoh di 9gag. Atau sama-sama bertakung air mata (atau seorang saja sebenarnya) melihat romantik komedi di TV. Jika filem aksi, melihat dia tidur separuh jalan.

Kini hampir setahun sudah. Parut lama tak mungkin akan hilang. Jiwa yang sentimental memang kadang-kadang akan diterjah memori-memori lama baik yang manis atau yang hancing. Tapi bak kata komik klasik - hidup mesti terus. Sisi-sisi terang dalam kehidupan akan muncul walau kita tidak cari. Hanya jangan terlalu asyik dengan kegelapan hingga lupa sisi-sisi terang itu.

Walau setahun lepas sudah penuh dengan senyuman dan tangisan (yang itu pasti), tak mungkin akan jemu untuk hadapi itu semua lagi.

Jom!

3 comments:

mongue said...

congrats awe!

aw3rz said...

Terima kasih Mongue.

imyahus said...

congrats 1st anniversary, n moga dikurniakan rezeki suatu hari nanti. insyaAllah

rileks we.. ko ada separuh hati. aku ada? haha