Tuesday, November 18, 2014

Lima Belas


Hujan tak berhenti sudah tiga hari. Jalan di Mercang sudah naik air. Risau jika jalan tutup. Tak dapat pergi kerja dan pening cari pengganti untuk on-call nanti.

Tapi kebelakangan ini, pesakit pun berkurangan sedikit. Mungkin sebab hujan. Atau mungkin juga sebab kecoh di media hospital disaman.

Media memang suka putar-belitkan fakta. Tanpa perbicaraan, seperti jatuh sudah hukuman bersalah. Jadi lumrah masyarakat yang senantiasa pesimis dengan servis kerajaan, terus saja makin membara tidak puas hati. Rela bersumpah tidak akan pergi lagi ke hospital ini. 

Seketika dulu, amarah mereka dirasakan tidak berasas dan tidak relevan. Fikir diri sudah buat sehabis baik. Rela korban masa dan tenaga untuk rawat pesakit yang datang. Air liur kering pun tak apa asal pesakit faham. Apabila aduan dibuat, rasa amat kecewa kerana tiada peluang untuk terangkan perkara sebenar. Susulan daripada aduan, hanya tindakan yang dirasakan menyebelahi satu pihak saja dan menyusahkan dibuat. Rasa segala pengorbanan tak dihargai.

Tapi apabila mula berada ditempat mereka, mula faham. Bawa ayah untuk klinik susulan. Ambil cuti tapi masih pening kepala cari gantian ditempat kerja. Apabila jumpa doktor, hanya sibuk taip dalam komputer tanpa terang langsung perkembangan. Apabila sendiri bertanya, jawab acuh tidak acuh. Apabila sendiri beri cadangan, dijawab dengan nada perlekeh. Memang geram. 

Pertama rasa mahu lepuk kerana rasakan mereka terlalu bangga berada di hospital rujukan dengan sokongan pakar dan boleh lupakan ilmu yang tidak dirangkum dalam bidang mereka. Doktor dari primer atau hospital daerah dianggap picisan. Kedua, rasa sedih selepas tersedar sebenarnya selama ini beri servis dengan rasa syok sendiri sahaja. Entah pesakit sebagai klien puas hati atau tidak.

Apabila sudah mengalami situasi di kedua-dua dunia, rupanya sukar untuk capai middle-ground untuk puaskan hati semua. Fikiran kerdil ini tak mampu beri penyelesaian. Hanya harap suatu ketika nanti kedua kumpulan ini tidak akan hilang hormat antara satu sama lain. Jika itu berlaku, mungkin masyarakat akan hilang satu daripada cita-cita mereka.

Semua akan hanya mahu jadi artis sahaja.

No comments: