Sunday, December 25, 2011

Perasaan Hujung Tahun Seperti Makan Aiskrim Mint Dengan Sedikit Rasa Tangerine Sambil Angin Sepoi-sepoi Dingin Bertiup Diiring Irama Instrumental

PICT0032

Hujung tahun menghampiri lagi. Masih terbaring malas memikirkan beberapa jam lagi untuk pergi kerja. Lagu Mee Kolok Sigek berkumandang dari komputer riba berselang-seli dengan bunyi rintik hujan dari tingkap.

Hanya pernah makan dua kali saja mee kolok dan berjanji tak akan makan lagi. Tak ada rasa. Tapi bila difikirkan, memang makanan di sini tak ada rasa sangat. Ketika pulang sekejap 2 minggu lepas ke Malaya, terasa semua makanan di sana terlebih rasa sudah. Seperti segerombolan ahli Shaolin berkungfu atas lidah. Pernah juga ada tukang jual makanan yang digembar-gembur sedap nasi lemaknya menyindir kata orang Malaya memang takkan suka makanan di bumi Kenyalang ini. Mungkin betul kerana sambal yang dibuatnya terlalu likat.

Namun, perut lapar perlu diisi juga walau tanpa sambal belacan atau budu atau nasi ayam mak masak. Tapi kinek tok, kantuk mengatasi segalanya. Tarik selimut hingga tutup mata. Perlu sambung tidur lagi.

Kerana beberapa jam lagi untuk pergi kerja.

0 comments: